Tasha Shilla Berdebar Tunggu 15 Jun


Nama Tasha Shila sebagai pelakon memang tidak asing lagi, namun kini Tasha melangkah setapak kehadapan lagi dengan memasuki bidang pengacaraan. Tasha menerima tawaran untuk menjadi salah seorang pengacara di karpet merah satu majlis yang gilang-gemilang iaitu Anugerah Blockbuster 2 yang bakal berlangsung pada 15 Jun ini.

Tasha akan bergandingan dengan Hefny Sahad, Hafizul Kamal dan Hanis Zalikha melahirkan rasa teruja dan berdebar menanti tarikh 15 Jun kerana ia adalah kali pertama Tasha mengendalikan acara karpet merah di anugerah yang cukup berprestij.
“Pertama kali jadi pengacara, perasaan saya sangat teruja. Sebelum ini ada juga tawaran yang datang, tapi saya masih belum bersedia. Tawaran ini datang bila saya dah betul-betul bersedia untuk bergelar pengacara. Buat masa ini, saya akan fokus untuk belajar bagaimanakah caranya menerajui acara karpet merah,” ulas gadis manis ini yang pernah bergelar Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011.
Tasha atau nama sebenarnya Natasha Shiela mengakui agak gementar untuk bergelar pengacara oleh itu dia akan mengambil cuti selama 2 minggu daripada menerima tawaran berlakon untuk mengikuti kelas pengacaraan sebagai persedian. Malah Tasha juga banyak merujuk kepada teman-teman yang lebih berpengalaman dalam bidang ini.
“Saya anggap ini satu cabaran bagi saya apabila saya mengambil tawaran untuk mengacarakan acara yang disiarkan secara ‘live’, walaupun ini adalah kali pertama saya bergelar pengacara. Selain itu, saya akan membuat rujukan mengenai anugerah ini dan akan menyediakan soalan-soalan untuk saya tanyakan kepada artis-artis yang bakal melalui karpet merah nanti. Saya akan meletakkan 120% usaha untuk mengendalikan acara ini dengan baik nanti, insya-Allah,” kata Tasha yang mengakui dirinya bersedia untuk dikritik dalam penampilah sulungnya sebagai pengacara.

0 comments: