Ahmad Idham Tegur Pawagam Tayang Waktu Maghrib
Penerbit dan pengarah filem, Ahmad Idham Nadzri memberi teguran kepada pemilik pawagam di Malaysia kerana kecewa dengan sikap tidak sensitif apabila menayangkan filem-filem tempatan pada waktu Maghrib.
Teguran ini juga kerana ia turut berlaku pada filem terbitannya iaitu Lari dimana kebanyakan pawagam menayangkan filemnya itu pada pukul 7 malam iaitu pada waktu Maghrib dan tindakan itu adalah tidak wajar.
“Isu ini sebenarnya sudah lama berlaku dan saya mahu bercakap tentang perkara ini apabila sudah tidak tahan disindir dan ada kalanya dimaki oleh peminat-peminat seolah-olah saya tidak menghormati waktu Maghrib. Sedangkan penetapan waktu tayangan bukan ditetapkan oleh saya, tetapi oleh pihak pawagam itu sendiri. Bukan filem saya sahaja yang menjadi mangsa keadaan, sebaliknya juga filem-filem tempatan lain,” katanya.
Ahmad Idham terlebih dahulu meluahkan rasa tidak puas hatinya melalui laman sosial Twitter dengan mengatakan bahawa dia tidak paham kenapa pihak pawagam meletakkan masa tayangan filem-filem Tempatan pada waktu sekitar jam 7 malam iaitu pada waktu umat Islam menunaikan solat Maghrib dan tindakan itu seolah-olah tidak menghormati umat Islam.
“Saya rasa bukankah lebih elok kalau tayangan filem Melayu diakhiri pada pukul 6 petang dan kemudian disambung semula pada pukul 8 atau 8.30 malam memandangkan tempoh masa solat Maghrib begitu singkat,” tambah Ahmad Idham lagi.
Hero drama Cinderella ini juga turut menegur Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) kerana tidak mengambil berat tentang hal berkenaan dan meminta agar mereka dapat mengkaji semula isu waktu tayangan filem-filem tempatan di bawah Syarat Wajib Tayang.
0 comments: